Skip to main content

Malaysia

Warga emas OKU cedera dalam kebakaran awal pagi

Warga emas OKU yang cedera dalam kebakaran rumah di Taman Boom Bak, Ipoh awal pagi ini di bawa ke HRPB menaiki kenderaan EMRS. Foto JBPM Perak.
Warga emas OKU yang cedera dalam kebakaran rumah di Taman Boom Bak, Ipoh awal pagi ini dibawa ke HRPB menaiki kenderaan EMRS. - Foto JBPM Perak
Advertisement

IPOH: Seorang lelaki warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Boom Bak, di sini, awal pagi ini.

Ketika kejadian, mangsa yang berumur sekitar 70 tahun, berada di rumah berkenaan bersama dua lagi warga emas, masing-masing seorang lelaki dan wanita, juga dianggarkan berumur 70-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan 999 mengenai kejadian itu pada 12.44 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan Ipoh.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kelas A berukuran 20’ X 70’ telah musnah terbakar 30 peratus melibatkan perabot di ruang tamu.

“Terdapat tiga mangsa dengan seorang lelaki OKU cedera di kaki manakala dua lagi mangsa selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi membuat 'size up' dan mengaplikasikan konsep RECEO seterusnya mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) lengkap dan membuat kerja pemadaman bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan 13 anggota bomba tamat sepenuhnya jam 1.40 pagi.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement