Mangsa lelaki yang rentung dalam kebakaran sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, di sini pada Ahad lalu, dipercayai mengalami masalah kemurungan sebelum ini.

Mangsa, Kamal Mustafa yang merupakan warga Mesir dan isterinya, Kamariah Talib iaitu warga tempatan masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan hadapan bilik air rumah mereka.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, difahamkan sebelum ini mangsa lelaki itu pernah cuba untuk membunuh diri, bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jirannya.

Bagaimanapun ujarnya sehingga kini pihak polis masih menjalankan siasatan dengan merakam percakapan dari ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan mangsa.

"Siasatan awal mendapati memang tiada siapa yang masuk ke dalam rumah tersebut kerana kali terakhir ialah suami dia membawa kita syaki tong minyak petrol, itu memang kita dapat dari rakaman CCTV stesen minyak, yang dibeli.

"Kematian mangsa lelaki itu bukan disebabkan tikaman tetapi lemas sebab asap kebakaran...kerana tikaman itu tidak menyebabkan kematian tetapi mangsa perempuan itu memang mati sebab tikaman.

"Motif kita belum ambil semua kenyataan lagi, ada juga mengatakan bahawa pada bulan enam atau tujuh dia cuba bunuh diri, namun kita akan dapatkan saksi untuk mengesahkan perkara ini," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas perkembangan terkini siasatan dan punca kematian pasangan suami isteri itu yang rentung dalam kebakaran rumah.

Semalam, media melaporkan kematian pasangan suami isteri itu dipercayai bermotifkan bunuh.

Ia berdasarkan hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai menggunakan senjata tajam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mangsa lelaki mempunyai kesan tikaman di dada manakala isterinya di bahagian rusuk kiri.

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih disiasat berikutan daripada keterangan saksi, mereka terdengar pertengkaran.

Turut ditemui, dua tong gas berhampiran dengan mayat mangsa yang dipercayai menjadi punca letupan itu sebelum berlakunya kebakaran.