Skip to main content

Malaysia

Warga emas terlibat kes letupan IED Nilai meninggal dunia di HKL

TIGA BAHAN LETUPAN IED DITEMUI DI NILAI #NegeriSembilan Polis mengesahkan penemuan tiga objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvise Explosive Device (IED) susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai pagi tadi.
Kejadian letupan berdekatan rumah kedai di Desa Palma, Nilai, awal pagi 22 Disember lalu dipercayai berpunca daripada peranti letupan reka ganti (IED) dari sebuah kereta. - Gambar fail Bernama

SEREMBAN: Polis mengesahkan orang kena tahan (OKT) dalam kes letupan membabitkan peranti letupan buatan sendiri (IED) di kawasan perumahan Desa Palma Nilai, di sini, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota pengiring Penjara Kajang mengenai kematian warga emas Yeoh Hock Sun, 63, kira-kira 8.30 malam tadi,

Advertisement

“Punca kematian lelaki pada 8.18 malam itu akibat ‘refrectory shock’ atau keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard diberikan secara optimum,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat malam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan orang awam mengenai objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi 22 Dis tahun lepas.

Warga emas itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berkaitan kes IED itu selepas pendakwaan dilakukan terhadapnya di Hospital Tuanku Ja'afar di sini berikutan tertuduh sedang menerima rawatan pada Januari lepas sebelum dia dihantar ke HKL akibat kritikal.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video