Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan pesara Risda, Mohd Amran Ghazali, daripada enam pertuduhan menyalahgunakan wang persatuan berjumlah RM15,350.
- Hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, dan penggunaan wang adalah untuk kegunaan persatuan selari dengan keterangan saksi.
- Mahkamah mengarahkan wang jaminan RM6,000 dikembalikan kepada Mohd Amran selepas keputusan pembebasan dibuat.
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pesara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) daripada enam pertuduhan menyalahgunakan wang persatuan berjumlah RM15,350, kira-kira 10 tahun lepas.
Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Amran Ghazali, 61, pada akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Azman berkata mahkamah mendapati keterangan berhubung penggunaan wang itu oleh lelaki tersebut adalah konsisten dengan tujuan untuk kegunaan persatuan dan tidak menunjukkan dia secara curang menyalahgunakan wang itu.
“Saya telah menimbang dakwaan kes terhadap tertuduh dan saya mendapati wang digunakan tertuduh adalah untuk kegunaan program Risda negeri (persatuan) dan ia selari dengan keterangan saksi pendakwaan ketujuh (SP7),” katanya.
Mahkamah mengarahkan wang jaminan Mohd Amran sebanyak RM6,000 dikembalikan.
Pada 2021, Mohd Amran yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Risda Terengganu didakwa atas enam pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM15,350 antara 2016 dan 2017.
Dia yang ketika itu ahli Persatuan Kakitangan Islam Pejabat Risda Terengganu dituduh menyalahgunakan wang milik persatuan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala Mohd Amran diwakili peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak.
-- BERNAMA