SUNGAI PETANI: Seorang pemandu warga emas terselamat selepas kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 81.1 Lebuhraya Utara Selatan, jam 3.49 petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian kenderaan yang dipandu mangsa berusia 61 tahun itu datang dari Taman Dato' Osman Aroff, Jitra menghala ke Sungai Petani.

“Mangsa yang memandu berseorangan mengesan api keluar dari bahagian enjin lalu mangsa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Lelaki itu sempat keluar dari kenderaan sebelum api marak membakar hampir 90 peratus kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Adzli, api berjaya dipadamkan pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba tidak lama kemudian.

Katanya, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.