Tindakan kerajaan Singapura untuk mengenakan kadar tol baharu kepada kenderaan yang memasuki republik itu bermula 1 Oktober ini ternyata menimbulkan reaksi kurang senang orang ramai.

Rata-rata, rakyat Malaysia yang sering memandu keluar masuk Singapura menganggap kenaikan tersebut menambahkan lagi beban mereka terutama selepas malaysia turut meningkatkan kadar tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

Beban itu terasa apatah lagi dengan kenaikan kadar permit caj kenderaan asing (VEP) oleh negara jiran itu berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Susulan itu, Astro Awani telah membuat tinjauan di sekitar bandaraya Johor Baharu untuk mendapat reaksi orang awam yang memasuki Singapura untuk mencari rezeki.

Tinjauan mendapati kebanyakan pemandu menganggap kadar tol baharu yang dikenakan itu terlalu mahal memandangkan kadar mata wang republik itu yang tinggi berbanding ringgit Malaysia.

Malah, ramai yang berharap agar kerajaan Malaysia dapat melakukan rundingan bersama pihak berkuasa Singapura bagi mengkaji semula kadar terbabit.

Bagi Hairul Dani Mohsin, beliau meminta kadar itu dikurangkan supaya tidak membebankan pemandu.

"Bagi saya sebagai orang awam benda tu kalau boleh minta dikurangkan lagi … itu main tambah beban kepada pengguna jalan raya yang keluar masuk harian.

“Saya (supaya) minta rundingan balik dapat dikurangkan, kerana agak tinggi dan membebankan bagi pengguna yang keluar harian ni," katanya.


Beban itu turut terasa bagi mereka sekali sekala memasuki republik itu.

"Kalau bagi saya dua minggu sekali masuk adakala nya agak berat … macam di Malaysia kena, di Singapura pun kena (caj tol)… pergi balik.

“Bagi saya pemandu untuk masuk sekali ke sana memng agak berat sikit la, jadi tak patut la macam tu," kata Irwan Zainal yang merupakan seorang pemandu.


Seorang pemandu yang telah berulang alik masuk ke republik itu lebih 30 tahun, kenaikan itu memberi kesan teruk kepada rakyat Malaysia sepertinya.

"Pada pandangan saya memang tak bagus la pasal kita rakyat Malaysia yang teruk dan (ini) membebankan rakyat kita sebab hendak masuk Singapura kena permit dan di sebelah kita (Malaysia) pun kena juga, tol Singapura pun kena kan jadi terlalu membebankan,” kata Mahad Abdul Majid.


Kadar baru itu, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) kenaikan dari SGD$1.20 (RM3.00) ke SGD$3.80 (RM9.70) untuk kereta, sementara bagi van ianya naik dari SGD$1.90 (RM4.80) ke SGD$5.80 (RM14.70).

Teksi dan bas akan dikenakan caj SGD$0.60 (RM1.50) dan SGD$1 (RM2.50), ke SGD$1.90 (RM4.80) dan SGD$3.10 (RM7.80).

Menurut LTA, ianya sudah menjadi amalan kerajaan Singapura untuk menetapkan kadar tol Singapura supaya disesuaikan dengan kadar yang ditetapkan oleh Malaysia di Tambak dan Link Kedua.

Sebelum ini, kerajaan Singapura telah menaikkkan bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 (RM102.88) sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

Begitu juga, kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singpura akan dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari berkuat kuasa mulai tarikh sama.

Semalam, dua Ahli Parlimen negeri Johor turut meminta kerajaan Malaysia dan Singapura mengkaji serta berunding semula kadar tol di pintu masuk kedua-dua buah negara.

Ini kerana, mereka bimbang ia akan memberi kesan kepada segala perancangan yang dibuat terutama yang melibatkan ekonomi seperti koridor Iskandar Malaysia selain membebankan warga Malaysia yang berulang alik ke negara itu untuk bekerja.