Warga Malaysia dicekup bersama 64kg ganja di Hatyai

Polis menahan pemandu lori buah-buahan berusia 36 tahun dari Pulau Pinang itu di rumah tetamu di sebuah kampung di Khuan Lang, Songkhla.

Suspek mengaku dia mengambil dadah tersebut di Hat Yai dan merancang untuk menyeludup keluar ke Pulau Pinang pada keesokannya. - Bernama | Astro Awani
Polis Thailand memberkas seorang lelaki rakyat Malaysia dan merampas 64 kilogram ganja berhampiran sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Timbalan Ketua Polis Hat Yai Lt Kol Pol Tanawat Sengsui berkata bertindak atas maklumat, polis menahan pemandu lori buah-buahan berusia 36 tahun dari Pulau Pinang itu di rumah tetamu di sebuah kampung di Khuan Lang, Songkhla pada 2.30 pagi (waktu tempatan) Sabtu.

Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan ketulan ganja mampat seberat 64 kg yang disembunyikan di bahagian yang diubah suai di dalam kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran Malaysia milik suspek.

"Suspek mengaku dia mengambil dadah tersebut di Hat Yai dan merancang untuk menyeludup keluar ke Pulau Pinang pada keesokannya. Dia juga mengaku diupah menyeludup ganja tersebut ke Malaysia menerusi pelbagai pusat pemeriksaan di sempadan sebelum ditangkap," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata semalam adalah kali kelima lelaki itu berbuat demikian dan suspek juga cuba merasuah polis agar melepaskannya.

Tanawat berkata siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah di Malaysia.

Katanya lelaki itu juga mengaku hanya menyeludup ganja ke Malaysia dengan mengangkut 60 hingga 70 kg setiap kali serta dibayar 30,000 baht (RM3,846) untuk setiap serahan.

Ganja kering itu bernilai kira-kira 10,000 baht (RM1,282) sekilogram di Thailand dan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda di Malaysia.

Ini merupakan kes kedua melibatkan rakyat Malaysia ditahan polis Thailand bersabit dadah bulan ini.

Pada 2 April lepas, lelaki Malaysia berusia 55 tahun diberkas bersama-sama 32 gram syabu di dalam 40 bungkusan kecil serta 11.9 gram ganja di rumahnya di Hat Yai.

Thanawat berkata lelaki itu pernah ditangkap atas kesalahan dadah dan dipenjarakan selama dua tahun di Songhkla serta dibebaskan tiga tahun lepas.

"Suspek menjual dadah itu pada harga 500-1,000 baht sepeket," katanya.

-- BERNAMA