Semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Pengumuman dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Jumaat.

Ujarnya mereka bagaimanapun dikehendaki mengisi boring E-Health Declaration (E-HDF) dan saringan COVID-19 akan dijalankan secara rawak melibatkan kemasukkan melalui jalan udara, darat dan laut.

Namun, bagi warganegara Malaysia yang tiba dari luar negara dan masuk ke Sarawak, mereka tetap perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

“Mereka perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak.

“Ujian COVID-19 akan diambil dua kali iaitu pada hari ke-2 dan ke-10. Kos penginapan dan ujian saringan COVID-19 untuk rakyat Sarawak akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak" jelas Uggah.

Bagi bukan rakyat negeri Sarawak, mereka perlu membayar sendiri kos kuarantin dan ujian saringan COVID-19.

Dalam sidang media itu juga Uggah memaklumkan penerbangan keluar dan masuk ke Sarawak akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa 1 September 2020.

“Sebelum ini dari 1 Ogos 2020 ke 31 Ogos 2020, kita telah mengurangkan jumlah penerbangan masuk ke Sarawak kerana kita melihat daripada aspek kemampuan menjalankan proses kuarantin dan mengawal kemasukkan.

“Namun bermula 1 September ini, operasi penerbangan dan jumlah penerbangan masuk ke Sarawak akan kembali seperti biasa,” tambah Uggah.