PELABUHAN KLANG: Kegiatan dua bot nelayan tempatan yang dikendalikan tekong dan kru warga asing bagi mengaut hasil laut di 11.6 batu nautika barat laut Sekinchan, dekat sini dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, dua bot kelas B1 yang melakukan aktiviti perikanan secara berkelompok itu ditahan kira-kira jam 12.10 tengah hari menerusi Op Ehsan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua bot terbabit dikendalikan lapan kru warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 29 hingga 42 tahun.

"Pemeriksaan dokumen berkaitan mendapati kedua-dua bot tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen selain dokumen pengenalan diri kru yang meragukan.

"Maritim juga telah merampas pelbagai jenis ikan seberat 200 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki pemilik bot tempatan melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Tegasnya, maritim memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera," ujarnya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian