KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berpendapat warga pendidik perlu dilibatkan dalam kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19.

Ini memandangan golongan ini merupakan golongan yang akan berinteraksi dengan pelajar yang ramai, sekali gus terdedah kepada risiko jangkitan wabak tersebut.

Menurut Presidennya, Adam Prakash Abdullah, guru-guru yang mengajar di kawasan zon merah khususnya perlu diberi perhatian menjelang pembukaan sekolah awal Mac depan.

“STU berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memastikan sekolah-sekolah di zon merah diberi perhatian.

“Ini kerana pihak guru-guru belum lagi menerima vaksin untuk melindungi diri mereka dan sangat berisiko apabila berhadapan dengan murid-murid sekolah nanti.

“Justeru, kami mengharapkan agar guru-guru juga dianggap sebagai pekerja barisan hadapan dan diberi keutamaan untuk diberi vaksin supaya kesihatan dan keselamatan mereka  terjamin,” katanya.

Selain itu, Adam turut berpendapat KPM perlu membuat pertimbangan semula mengenai keputusan pembukaan sekolah di zon merah.

Ini dengan mengambil kira isu keselamatan guru dan pelajar memandangkan risiko jangkitan masih tinggi.

“STU mengambil berat tentang keselamatan semua guru dan semua murid khususnya di kawasan penularan pandemik COVID-19 ini masih aktif,” tambahnya.

Selain itu, STU juga mengingatkan ibu bapa dan guru untuk memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan ketika berada di sekolah.

Semua berita vaksin COVID-19