KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan agensi itu mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya di negara ini bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan, warga Rohingya tanpa dokumen yang sah tetap dikategori sebagai PATI mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Bagaimanapun, Zakaria menjelaskan, warga Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah hanya diberi pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan bagi dua kesalahan imigresen.
"Pengecualian itu hanya membabitkan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa. Namun, mereka masih tertakluk kepada undang-undang imigresen yang lain seperti kesalahan bekerja tanpa pas atau permit sah," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Zakaria turut mengingatkan, tindakan tegas boleh diambil terhadap majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tersebut.
Mengulas mengenai pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, beliau berkata, ia dilaksana berdasarkan dasar kerajaan yang diselaras melalui arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dipantau menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka di negara ini menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP). Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia," ujarnya.
Zakaria memaklumkan, sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan MKN melalui jawatankuasa Kabinet berkenaan.
Katanya, JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar kerajaan yang ditetapkan.
Advertisement
Advertisement