Waris kepada rakyat Malaysia yang ditemui mati di sebuah hotel di Ho Chi Minh, Vietnam, Rabu lalu berharap jenazah Mohd Azhar Abdul Wahab dapat dibawa balik ke Kulim secepat mungkin.

Mohd Noorazman, 31, adik kepada Mohd Azhar, 33, berkata dianggarkan RM40,000 diperlukan untuk proses membawa balik jenazah abangnya, dan sehingga kini mereka sekeluarga tidak dapat ke Vietnam kerana masalah kewangan.

Kementerian Luar dalam kenyataannya semalam memaklumkan, mayat Mohd Azhar ditemukan di dalam bilik hotel di Ho Chi Minh, dan polis Ho Chi Minh masih menyiasat punca kematiannya.

Beliau berkata abangnya ke Vietnam pada 15 April lalu bersama seorang rakan sekampungnya lebih dikenali sebagai Angah, dan sepatutnya pulang ke kampong mereka di Kampung Air Merah, Kulim pada 28 April lalu.

"Dia maklumkan hendak pergi ke Vietnam untuk bercuti. Bagaimanapun sehingga sekarang kami tidak dapat hubungi Angah. Mereka berdua kawan rapat sejak kecil lagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Azhar merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan bekerja sebagai pembantu kedai di Kulim, juga merupakan vokalis kumpulan Svatantrata yang aktif di sekitar Kulim dan pernah membuat persembahan di beberapa buah negara seperti Singapura.

Mohd Noorazman berkata beliau sekeluarga mengetahui mengenai berita kematian abangnya yang masih bujang itu daripada polis yang datang ke rumahnya memaklumkan perkara itu pada Khamis lepas.

"Ibu saya sangat terkejut mendapat tahu berita itu. Saya juga sudah dua hari tidak dapat tidur memikirkan perkara ini. Abang seorang yang sangat rapat dengan saya serta suka melawak," katanya.

Laporan media menyatakan mayat Mohd Azhar ditemukan dengan kesan kelar pada kepala dan bahu, serta terdapat kesan darah pada lantai hotel.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, beliau sudah menghubungi Ketua UMNO Cawangan Air Merah bagi memaklumkan sebarang perkembangan kepadanya.

"Kedutaan Malaysia akan bantu dan anggota keluarga akan dibawa ke sana secepat mungkin. Kami juga beri sedikit sumbangan wang tunai terlebih dahulu," katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.