MALAYSIA
Waris mangsa nahas bas Gerik terima sumbangan RM420,000 daripada UPSI

Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik Jun lalu. - Foto Bernama
IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terbabit dalam nahas bas di Gerik pada 9 Jun lepas.
Ringkasan AI
- UPSI menyalurkan sumbangan RM420,000 kepada waris 42 pelajar terlibat nahas bas di Gerik, dengan setiap waris menerima RM10,000 melalui Tabung UPSI Prihatin Gerik.
- Tabung khas ini diwujudkan sebagai simbol solidariti universiti dan komuniti, selain RM1.7 juta sumbangan terdahulu daripada pelbagai pihak untuk membantu mangsa dan keluarga.
- Kemalangan pada 9 Jun lalu mengorbankan 15 penuntut UPSI dan mencederakan 33 yang lain, apabila bas sewa khas terlibat nahas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.
"Sebelum ini sebanyak RM1.7 juta telah dihulurkan hasil sumbangan pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, sumbangan berkenaan diserahkan pada satu majlis yang berlangsung di Pasir Puteh, Kelantan, semalam dengan dihadiri lebih 100 ahli keluarga, pelajar serta waris mangsa.
Turut hadir, Bendahari UPSI Mohamad Najib Mohamed, Ketua Timbalan Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Maskana Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK Dr Mohd Amir Mohd Zahari.
Norkhalid berkata sumbangan itu melambangkan keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap keluarga pelajar yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
"Saya terharu dengan ketabahan ahli keluarga serta pelajar yang terus kuat menghadapi situasi sukar akibat tragedi yang menyayat hati kita semua.
"Diharapkan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka, selain memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu," katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami