KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat dan penolong penguasa bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Sesyen 1 (Khas Rasuah), Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan menipu membabitkan wang RM9,500.
Kedua-dua tertuduh, Noorashiken Samsuri, 39, dan Azhar Abdul Jalil, 45, didakwa melakukan penipuan berkaitan pemasangan sistem pengawasan kebakaran.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanageswari Nalliah.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama menipu Choo Chen Ho sehingga mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek Public Bank Berhad bernilai RM9,500.
Kedua-dua tertuduh didakwa memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa pemasangan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) di Syarikat Ayam SHF Sdn Bhd boleh dilaksanakan oleh Wilayah Selatan Maju Enterprise.
Bagaimanapun, pemasangan sistem berkenaan didakwa tidak dilaksanakan oleh syarikat tersebut seperti yang dipercayai mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 18 September 2023, dengan kedua-dua tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka turut berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, dan mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’Aneez Mohd Shukari, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amar Amjad daripada Tetuan Imran Sam & Partners.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dan menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.