Skip to main content

Malaysia

Waris pemandu komuter KTMB maut dalam kemalangan terima faedah orang tanggungan

ARAU, 18 Ogos 2026 -- Pengarah PERKESO Negeri Perlis Ahmad Firdaus Hashim (tiga, kiri) menyerahkan Faedah Orang Tanggungan (FOT) PERKESO kepada balu Allahyarham Mohd Fadzil Abdul Karim, Suryani Ishak, 46, di Taman Utara Fasa 2, Arau hari ini.  Allahyarham Mohd Fadzil, 50, yang bertugas sebagai pemandu KTMB Wilayah Utara maut dalam kemalangan di Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Chuping Valley pada 3 Ogos lepas.  Turut hadir Eksekutif Kanan Modal Insan KTMB Wilayah Utara Shahrezat Abd Razak (dua, kiri).
Ahmad Firdaus (tiga, kiri) menyerahkan Faedah Orang Tanggungan (FOT) PERKESO kepada balu Allahyarham Mohd Fadzil Abdul Karim, Suryani Ishak, di Taman Utara Fasa 2, Arau hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

ARAU: Waris kepada pemandu komuter KTMB Wilayah Utara yang maut selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Padang Besar pada 3 Ogos lepas menerima bayaran faedah orang tanggungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM4,995 sebulan.

Pengarah PERKESO Perlis Ahmad Firdaus Hashim berkata bayaran faedah itu melibatkan pencen penakat kepada balu Mohd Fadzil Abdul Karim, 50, iaitu Suryani Ishak, 46, sebanyak RM2,997 sebulan manakala RM1,998 sebulan kepada seorang anak Allahyarham berusia 19 tahun.

"Kita telah memproses kes ini pada 12 Ogos dan menyelesaikan keseluruhan bayaran faedah orang tanggungan sebanyak RM4,995 sebulan, anak Allahyarham ini akan terima faedah bulanan tersebut sehingga umur 21 tahun.

"Selain itu, waris Allahyarham turut menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000," katanya kepada pemberita pada program Skuad PERKESO Prihatin bagi menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di sini hari ini.

Ahmad Firdaus berkata Allahyarham mempunyai empat anak berusia 19 hingga 24 tahun dengan dua daripadanya masih melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala dua lagi telah bekerja.

Sementara itu, Eksekutif Operasi KTMB Padang Besar Mohd Faris Che Lah berkata Mohd Fadzil telah berkhidmat dengan KTMB selama 26 tahun dan merupakan seorang kakitangan yang rajin serta disenangi rakan sekerja.

Beliau berkata pihak KTMB turut bekerjasama dengan PERKESO bagi mempercepat proses tuntutan supaya faedah berkenaan dapat diterima waris Allahyarham dalam tempoh sewajarnya.

Dalam pada itu, Suryani menzahirkan penghargaan kepada PERKESO dan KTMB atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan yang disifatkannya amat bermakna bagi membantu keluarganya meneruskan kehidupan selepas kehilangan Allahyarham.

"Alhamdulillah, apa yang kami terima ini memang cukup besar untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement