KUALA LUMPUR: Waris keluarga kepada pasangan suami isteri yang ditemui maut ditikam anaknya di Kampung Sungai Penchala pada Sabtu dilihat tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya pada jam 5.25 petang Ahad.

Menurut sumber, jenazah pasangan terbabit akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala dan dimandikan di masjid berdekatan.

Proses bedah siasat kedua-dua mayat itu mengambil tempoh masa tujuh jam bermula jam 10.30 pagi sehingga 5.30 petang pada Ahad.

Bagaimanapun, waris keluarga mangsa enggan memberi sebarang komen berhubung kes terbabit ketika dihampiri petugas media.

Sebelum itu, sepasang suami isteri terbabit maut ditikam anak kandungnya di rumah mereka dipercayai selepas berlaku pertengkaran.

Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Susulan kejadian itu, suspek melarikan diri di kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebelum gerakan mencari suspek giat dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Suspek berjaya ditangkap pada jam 10.30 malam di bawah terowong Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian