KOTA KINABALU: Sabah akan mewartakan semua kawasan sumber air sebagai langkah proaktif bagi mengatasi krisis bekalan air pada masa akan datang terutama ketika berdepan bencana kemarau.

Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata langkah itu diambil bagi menjaga kawasan sumber air di negeri itu sekali gus membolehkan Jabatan Air Negeri Sabah mengurus bekalan air untuk kegunaan penduduk dan industri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut terletak di daerah Tuaran, Papar, Tawau, Sandakan, Semporna, Kudat dan Penampang.

"Kita mempunyai dua pewartaan..satu untuk perlindungan. Kawasan itu tidak boleh diganggu sama sekali. Walaupun ia kawasan tanah kerajaan, di luar taman negara atau hutan simpan. Di sekitarnya itu memang ada juga kawasan yang mempunyai tadahan air dan ini dikategorikan sebagai kawasan pemeliharaan.

"Ini juga perlu kita warta tetapi kawasan ini ada beberapa kelonggaran sedikit kerana kebanyakannya ada juga tanah bergeran dan kebun. Kita kena buat dasar untuk menangani atau mengurus kawasan pemeliharaan ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Sabah di sini pada Jumaat.

Jeffrey berkata pihak berkuasa juga akan mengambil alternatif lain termasuk mencari sumber air melalui telaga tiub dan proses pemindahan air sebagai kaedah untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan terjejas semasa musim kemarau.

Selain itu, katanya kerajaan juga diharap akan membina rizab pantai dan kolam tadahan untuk mengumpul lebih air semasa musim hujan.

Menurutnya penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di semua daerah juga amat penting termasuk dalam membentuk jawatankuasa menyelia sumber air selain meningkatkan kefahaman penduduk tentang kepentingan menjaga seterusnya memulihara alam sekitar seperti sungai.

Mengulas situasi sumber air semasa, Jeffrey berkata, sebanyak enam daripada 89 loji rawatan air di Sabah dikenal pasti mengalami gangguan air dan tidak beroperasi pada kapasiti penuh termasuk di Pulau Sebatik, dekat Tawau, Pulau Banggi di Kudat dan Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Papar.

Beliau berkata paras air sungai di seluruh Sabah telah menurun antara 10 hingga 50 peratus sekali gus menjejaskan aktiviti tanaman padi di beberapa daerah termasuk di Keningau seluas 2275 hektar, Kota Belud (108.05), Papar (54.68) dan 40.25 hektar di Membakut.

"Setakat sekarang ini, padi yang sudah ditanam tidak akan terjejas kerana sudah ingin dituai, namun saya khuatir adalah untuk penanaman padi baharu bagi musim akan datang susulan ketiadaan air," katanya.

-- BERNAMA