KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati menyifatkan wartawan di negara itu bukan hanya menjadi saksi pasif dalam peristiwa-peristiwa yang berlaku di republik itu, malah bertindak sebagai pelaku aktif dalam membentuk sejarah negara berkenaan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagramnya, beliau juga berkata peranan wartawan adalah penting dan menjadi asas kepada sebuah negara yang berpegang kepada sistem demokrasi.

‘’Wartawan mempunyai tanggungjawab yang penting dan signifikan untuk terus membangunkan tamadun sekali gus membantu mengembangkan pemikiran.

‘’Saya amat menghargai kerja keras dan dedikasi wartawan yang mesti menyesuaikan diri melawan pelbagai arus perubahan demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat,’’ ujarnya.

Bertemakan ‘’Mengawai peralihan kepimpinan negara dan menjaga keutuhan sistem demokrasi negara,’’ katanya wartawan dan media di Indonesia juga disaran untuk terus mengekalkan integriti dalam penyampaian maklumat dalam memastikan kedaulatan dan keutuhan negara.

‘’Akan berlaku peralihan kepimpinan menerusi Pilihan Raya Presiden (PILPRES) dan pastinya peranan wartawan diperlukan dalam menyalurkan maklumat yang penting dan jelas.

‘’Malah maklumat yang penting ini akan terus dijadikan sumber yang dipercayai sekaligus mampu bersandarkan integriti pemberitaan,’’ jelasnya..

Sri Mulyani pada masa sama juga melihat kepentingan untuk wartawan di Indonesia terus beradaptasi kepada teknologi digital.

Namun ujarnya, mereka juga digesa untuk terus kekal melaporkan berita yang berlandaskan kebenaran dan keadilan serta mencipta pelaporan seimbang sekali gus mampu mendidik anak bangsa.

‘’Di saat teknologi memberi kesan yang besar kepada seseorang wartawan dan industri media secara amnya, pemain industri harus bijak menyesuaikan diri untuk terus melapor dan menyiarkan peristiwa bersejarah.

‘’Tetapi integriti harus dikekalkan supaya mampu kekal sebagai sumber berita yang dipercayai serta berlandaskan keseimbangan dan keadilan dalam membina negara yang bermaruah,’’ ujarnya.