JOHOR BAHRU: Seorang wartawan berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Taman Molek di sini pada malam Selasa.

Mangsa, Ernalisa Othman, 38, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9.45 malam semasa dia baru duduk di luar restoran berkenaan sebelum terlihat dua lelaki menunggang dan membonceng motosikal di hadapan premis berkenaan.

"Mereka kemudian meletakkan motosikal di depan restoran dan dapat dilihat gerak geri mereka dalam keadaan mencurigakan, tetapi saya tidak menyangkakan apa-apa.

"Namun apabila kedua-duanya berjalan menuju ke arah saya, saya sedikit panik.

"Mereka datang dari arah depan dengan memakai topi keledar dan 'mask' sebelum berdiri di sebelah saya. Ketika itu, saya baru mengeluarkan komputer riba atas meja untuk memulakan kerja.

"Mereka kemudian merampas beg berisi telefon bimbit dan komputer riba sebelum saya cuba menghalangnya, tetapi seorang daripada mereka mengacukan parang depan muka saya sambil berkata, 'nak bagi ke tak?'" katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan semasa dua lelaki tersebut cuba melarikan beg dan komputer riba, telefon bimbit dalam beg berkenaan terjatuh atas lantai.

"Saya terus mengambil telefon bimbit, sebelum berlari masuk dalam restoran manakala dua lelaki berkenaan melarikan diri," katanya.

Ernalisa berkata, dia bersyukur kerana terselamat dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada jam 9.53 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Sohaimi Ishak ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut

"Kes dalam siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun menggunakan senjata parang. Usaha mengesan suspek masih dijalankan," kata beliau. -Sinar Harian