Peniaga diingatkan agar berwaspada jika membeli alat pengimbas suhu digital yang lebih murah daripada harga pasaran kerana dikhuatiri tidak berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga dan pengguna alat pengimbas suhu digital dinasihatkan supaya membelinya dari kedai yang diakui membekal alat berkenaan.


Selain itu jelasnya, pembeli juga perlu memastikan alat pengimbas itu mempunyai pengesahan Sirim Berhad (Sirim) bagi memastikannya berfungsi dengan baik.

“Saya menyeru kepada peniaga-peniaga untuk membeli daripada kedai yang sah, kedua mesti ada sesuatu yang tidak kena kalau harganya terlalu murah berbanding harga biasa,” katanya.

Rosol berkata, kementeriannya tidak mempunyai peraturan khusus untuk kes berkaitan alat pengimbas suhu digital produk murahan itu.

Bagaimanapun, tegasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedai atau pembekal yang menjual alat tidak berkualiti itu boleh melaporkannya kepada KPDNHEP untuk tindakan.

Sumber Facebook rosolwahid11