KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada serta berhati-hati dengan peningkatan kes demam malaria di negeri itu kebelakangan ini.

Ia berikutan terdapat pertambahan kes yang ketara iaitu daripada lapan kes bagi tempoh Januari hingga April 2022 kepada 17 kes bagi tempoh sama tahun ini di Terengganu.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada 17 kes dilaporkan tahun ini, sebanyak 16 kes melibatkan kes malaria zoonotik manakala satu lagi kes import malaria manusia (Plasmodium vivax).

"Kita dapati terdapat peningkatan kes yang ketara iaitu sebanyak 112.5 peratus tahun ini berbanding tahun lalu dan daerah Hulu Terengganu mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak sembilan kes.

"Bagaimanapun tiada wabak atau kematian akibat malaria dilaporkan setakat ini, sama seperti tempoh sama tahun lalu," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Dr Kasemani menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan.

Sebagai langkah pencegahan terutama bagi penduduk di kawasan hutan dan pinggir hutan, mereka dinasihatkan agar memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk, menggunakan ubat penghalau nyamuk dan mengelak berada di luar rumah pada waktu malam.

"Mereka yang mengalami gejala terutama yang mempunyai sejarah pergi ke kawasan berisiko malaria atau pulang dari negara endemik malaria seperti Indonesia, Filipina atau India perlu segera mendapatkan rawatan.

"Saya nak ingatkan bahawa malaria boleh membawa maut jika tidak dirawat dan didiagnos lebih awal," katanya.

-- BERNAMA