PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan nilai rampasan RM14.9 juta menerusi Ops Tiris 3.0 dari Januari hingga 15 Mac.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 12,252 pemeriksaan dilakukan dan 433 kes dilaporkan termasuk penyeludupan barang kawalan seperti petrol dan diesel.
Advertisement
“Dalam tempoh itu, sebanyak 120 tangkapan dilakukan termasuk kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya kepada pemberita selepas meninjau stesen minyak dan pangkalan haram di sempadan Rantau Panjang di sini hari ini.
Armizan berkata statistik nilai rampasan Ops Tiris 3.0 pada tahun lepas dan 2024 menunjukkan penurunan hasil kerjasama proaktif dengan pelbagai agensi keselamatan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Walaupun nilai rampasan menunjukkan penurunan, namun kita tidak mengambil mudah kerana terdapat risiko krisis tenaga global yang berlaku ketika ini.
“Justeru, kerajaan sedang menggerakkan pelan kontigensi untuk memastikan kelangsungan keterjaminan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan domestik,” katanya.
Armizan berkata antara fokus utama kerajaan dalam menjamin kelangsungan bekalan bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan, malah mengambil langkah segera memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran.
“Selain daripada penguatkuasaan sedia ada mengekang aktiviti manipulasi barang kawalan, risiko ketirisan semakin tinggi susulan konflik Asia Barat yang mengakibatkan krisis tenaga global,” katanya.
-- BERNAMA