MALAYSIA
Watak ini berat - Komando VAT69

Jafri Khairul, 44, yang sudah dua dekad berkhidmat bersama pasukan khas dari Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta, tidak menyangka tugasan seni itu bakal mengoyak emosi dan menyentuh relung hatinya. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: "Watak ini berat."
Demikian luahan Sarjan Jafri Khairul Mohd Jaafar, anggota pasukan elit VAT 69 Komando, ketika mengenang detik membawakan watak ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, pahlawan negara yang gugur ketika bertempur dengan pengganas komunis, dalam persembahan pantomim sempena Istiadat Hari Pahlawan 2025.
Jafri Khairul, 44, yang sudah dua dekad berkhidmat bersama pasukan khas dari Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta, tidak menyangka tugasan seni itu bakal mengoyak emosi dan menyentuh relung hatinya.
"Mohd Zabri bukan sekadar tokoh dalam sejarah pasukan kami. Beliau adalah legenda. Dan membawakan wataknya membuatkan saya teringat kepada arwah sahabat saya... ASP Zulkifli Mamat," katanya kepada Bernama.Jafri Khairul turut berkongsi bahawa beliau berada di lokasi kejadian ketika tragedi berdarah Lahad Datu pada 1 Mac 2013, yang mengorbankan Zulkifli dan sembilan lagi anggota keselamatan.
"Bila melangkah atas pentas, saya tak nampak lampu atau orang. Yang saya nampak cuma wajah-wajah mereka yang telah pergi," katanya yang mengakui peristiwa itu terpatri dalam ingatan dan sanubarinya.
Persembahan pantonim bertajuk "Zabri, Pejuang Sang Saka Biru" oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), membawa penonton menyaksikan kisah perwira legenda Komando VAT69 PDRM ASP Mohd Zabri.
Kisah perjuangan Mohd Zabri yang terkenal sebagai legenda Kerambit Kembar 'dihidupkan semula' selama kira-kira 15 minit itu, dilakonkan 142 pegawai dan anggota PDRM, dengan disusuli video menggunakan 80 peratus teknologi kecerdasan buatan (AI) hasil kreativiti pasukan produksi PDRM untuk tujuan ilustrasi berdasarkan kisah benar.
Pantomim itu berkisarkan Allahyarham Mohd Zabri yang terkorban dalam tragedi serangan hendap pengganas komunis pada 1975.
Mohd Zabri yang dalam misi mengejar dan menyekat pengganas dari cuba melarikan diri ke sempadan, terpijak jerangkap samar.
Jerangkap samar itu menyebabkan pergelangan buku lali kanan hingga paras kasut but yang dipakainya putus, dan Mohd Zabri kehilangan banyak darah.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mohd Zabri sempat menyampaikan amanat kepada anak buahnya untuk meneruskan perjuangan memburu petualang negara dan menghancurkan mereka biarpun dirinya sudah tiada lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami