SEKINCHAN: Dalam era Netflix dan Viu, siapa sangka wayang pacak iaitu pertunjukan wayang gambar di tanah lapang yang popular pada era 70-an masih mempunyai peminat tersendiri.

Mohamad Sidik Mahmud, 55, yang baru-baru ini berpeluang menghadiri wayang pacak di pekarangan Balai Masyarakat Tali Air Enam di sini berkata program tersebut mengimbau memorinya ketika zaman kanak-kanak.

Pekerja swasta itu berkata pemilihan filem patriotik untuk ditayangkan sangat bersesuaian dengan suasana negara menyambut Bulan Kebangsaan.

"Sudah lama program sebegini tidak ada, dulu tengok wayang pacak masa temasya sukan sekolah pada zaman 70-an atau selepas musim menuai di sini, orang kampung akan turun beramai-ramai kerana bukan semua memiliki televisyen ketika itu," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Penganjuran wayang pacak berkenaan merupakan inisiatif Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Sabak Bernam sebagai satu daripada usaha mengembalikan nostalgia dan menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat.



Bagi pesara tentera Mokhtar Abdullah Kamari, 68, program sedemikian wajar diperbanyakkan supaya masyarakat hari ini sentiasa ingat jasa serta perjuangan pasukan keselamatan negara.

"Walaupun pak cik sudah lama bersara, semangat patriotik terus kuat dalam diri pak cik. Bukan senang orang-orang dulu nak dapatkan kemerdekaan, anak-anak muda kena ingat itu," katanya yang hadir menonton wayang pacak bersama cucunya.

Muhammad Izz Mifzal Muhammad Zainodin, 11, berkata filem patriotik yang dipertontonkan itu membuatkannya bersemangat untuk mengejar cita-cita menjadi seorang tentera.

"Sebelum tayangan filem tadi, ada video mengenai kemerdekaan negara ditayangkan, saya dapat juga belajar sesuatu daripada video itu walaupun sebenarnya datang untuk tengok wayang (filem)," katanya.



Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Selangor Normaizatulakmal Tujad berkata pihaknya berharap aktiviti santai sebegitu dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta perpaduan sesama keluarga, komuniti, pemimpin dan rakyat pelbagai kaum.

Beliau berkata ia juga merupakan pendekatan PPD dalam melaksanakan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) bagi menyokong konsep Malaysia MADANI menerusi program turun padang bersama komuniti.

Katanya pelaksanaan itu berteraskan aktiviti penyaluran maklumat dan advokasi; patriotik dan kenegaraan; kesukarelawanan; kerohanian dan kesejahteraan kebajikan rakyat.

"Bahan-bahan tayangan boleh terdiri daripada dokumentari yang diterbitkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi Digital seperti Radio Televisyen Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau lain-lain," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Sabak Bernam Ahmad Yaacob berkata penganjuran wayang pacak itu adalah sebagai medium penyampaian maklumat, di samping menerapkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung tersebut.

"Walaupun wayang pacak ini sudah sedikit ke belakang dalam kalangan masyarakat sekarang, namun ia masih ada permintaan. Di samping tayangan filem, kita juga dapat sampaikan infomasi terkini daripada kerajaan," katanya.

-- BERNAMA