Skip to main content

Malaysia

Wira tanpa uniform, tiga insan terima Anugerah Khas Inspirasi Bapa

Anugerah hari bapa_KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA. KEL.UARGA DAN MASYARAKAT
(Dari kiri) Mohd Yusof Mohd Noor, Mohd Azhan Mohd Adnan dan Mohd Adli Yahya. -Gambar KPWKM
Advertisement

CYBERJAYA: Bukan semua wira memakai uniform atau berdiri di pentas menerima tepukan. 

Ada yang memilih lorong gelap kota untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, manakala ada yang mendedikasikan hidup demi memastikan anak-anak istimewa memiliki masa depan yang lebih cerah. 

Atas jasa, keikhlasan dan pengorbanan itulah, tiga insan bergelar bapa dipilih menerima Anugerah Khas Inspirasi Bapa, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka yang memberi makna bukan sahaja kepada keluarga, malah masyarakat.

Mereka ialah aktivis sosial yang lebih dikenali sebagai "Abang Minyak Hitam", Mohd Yusof Mohd Noor; aktivis kebajikan, Mohd Azhan Mohd Adnan atau Abbe Hae; serta pengasas Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya.

Meskipun datang daripada latar belakang berbeza, ketiga-tiga mereka berkongsi satu persamaan iaitu menjadikan nilai kebapaan sebagai kekuatan untuk berbakti kepada masyarakat.

Bagi Mohd Adli, 57, perjalanan itu bermula daripada rasa tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada anak autisme yang tidak mampu bertutur.

Kebimbangannya terhadap masa depan anaknya mendorong beliau menubuhkan Autism Cafe Project, yang bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan kepada individu autisme, malah membuka ruang untuk mereka membina keyakinan diri, berdikari dan diterima masyarakat.

"Ini anak saya... dia tak boleh bercakap. Jadi saya tak boleh biarkan dia begitu sahaja. Saya buat ini bukan untuk dia seorang, tetapi supaya lebih ramai anak autisme mendapat peluang yang sama," katanya ketika ditemui pemberita, selepas sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, bagi Mohd Azhan, 58, atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, perjalanan hidupnya sebagai ikon kebajikan bermula daripada hasrat isterinya untuk menyediakan makanan kepada jemaah masjid setiap hari Jumaat.

Namun, niat kecil itu akhirnya membawa beliau menyelami kehidupan golongan gelandangan dan anak-anak lorong di sekitar Lorong Haji Taib serta Chow Kit, Kuala Lumpur.

Katanya, pengalaman mendekati golongan itu memberinya satu kepuasan yang sukar digambarkan.

"Bila kita melihat sendiri kehidupan mereka, kita rasa satu ketenangan yang tak dapat digambarkan. Kalau kita tak buat, kita tak akan tahu nikmatnya membantu orang," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof, 36, atau "Abang Minyak Hitam" pula terus dikenali sebagai aktivis sosial yang tidak pernah jemu menggerakkan pelbagai inisiatif kebajikan serta mengajak masyarakat melakukan kebaikan melalui media sosial.

Beliau mengakui tidak pernah menyangka usaha yang dilakukan secara ikhlas akhirnya membawa kepada pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Khas Inspirasi Bapa.

"Saya tak pernah terfikir video yang saya hasilkan untuk mengajak orang berbuat baik akhirnya membawa kepada penghargaan seperti ini," katanya.

Keprihatinan, sifat pemurah dan komitmen beliau dalam menyantuni masyarakat menjadikan beliau antara figura inspirasi yang dihormati ramai lebih-lebih lagi selepas kisahnya membantu lelaki berbangsa Cina (Dicky) tular di media sosial.

Pemilihan ketiga-tiga penerima Anugerah Khas Inspirasi Bapa itu membuktikan gelaran sebagai seorang bapa bukan hanya diukur melalui pertalian darah, sebaliknya melalui keikhlasan, kasih sayang dan kesediaan berkorban demi mengubah kehidupan orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan.

 

Must Watch Video

Advertisement