Skip to main content

Malaysia

Wisma Putra pantau rakyat Malaysia di Iran, kekalkan nasihat perjalanan

Sumber: Wisma Putra
Wisma Putra memaklumkan fokus utamanya kekal tertumpu kepada aspek keselamatan dan kebajikan konsular warganegara Malaysia. - Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia sentiasa memantau kesejahteraan rakyat Malaysia di Iran susulan perkembangan situasi semasa di negara itu.

Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada Jumaat, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan fokus utamanya kekal tertumpu kepada aspek keselamatan dan kebajikan konsular warganegara Malaysia.

Advertisement

“Perkhidmatan dan bantuan konsular yang sewajarnya terus dipanjangkan kepada rakyat Malaysia yang atas kerelaan sendiri telah memilih untuk terus berada di Iran,” menurut kenyataan itu.

Mengulas minat media untuk menghubungi rakyat Malaysia yang kini berada di Iran, Wisma Putra berkata pihaknya menghormati privasi dan keputusan peribadi mereka serta, dengan mematuhi sepenuhnya prinsip perlindungan data peribadi, tidak dapat mendedahkan maklumat peribadi, berkongsi butiran hubungan atau mengaturkan sebarang sesi libat urus antara pihak media dan individu yang terlibat.

Wisma Putra menegaskan bahawa nasihat terdahulu yang dikeluarkan pada 5 Feb kekal tidak berubah, iaitu menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Iran buat masa ini.

Rakyat Malaysia yang kini berada di Iran digesa mempertimbangkan untuk membuat aturan perjalanan sewajarnya melalui saluran komersial yang tersedia, manakala mereka yang memilih untuk kekal perlu sentiasa berwaspada, mengelakkan perhimpunan awam berskala besar serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Bahagian Konsular kementerian pada waktu pejabat di talian +603-8887 4597, +603-8887 4769, +603-8887 4264 atau melalui e-mel di [email protected].

Kementerian juga boleh dihubungi selepas waktu pejabat menerusi talian kecemasan di +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected].

Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan menyalurkan perkembangan terkini sekiranya perlu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video