Kementerian Luar akan memberikan sokongan kepada mana-mana pihak yang berusaha meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Malaysia secara amnya tidak menyokong peperangan dan Wisma Putra berharap agar ketegangan AS-Iran tidak akan berlarutan sehingga mengakibatkan perang terjadi.

“Kita juga memberi sokongan... walaupun saya tak boleh nak sebut secara terbuka, kita juga beri sokongan pihak yang berusaha de-escalate (meredakan). Kita supportive terhadap usaha yang dilakukan pelbagai pihak yang menenangkan ketegangan ini.

Nobody wants war and we are definitely not supporting any escalation. Kita minta keadaan kembali tenang,” katanya kepada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Tehran bertindak melancarkan beberapa peluru berpandu ke atas kem tentera yang menempatkan askar AS di Iraq.

Tindakan itu susulan serangan AS ke atas konvoi tentera Iran di Iraq, sehingga mengakibatkan kematian Komander Tertinggi Tentera Elit Iran, Qasim Soleimani, Jumaat lepas.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Wisma Putra akan mengadakan pemantauan 24 jam ke atas kawasan yang dikhuatiri menjadi pergolakan dan beliau berharap agar rakyat Malaysia di Iran dan Iraq mengambil langkah berjaga-jaga.

Wisma Putra juga, jelas beliau, telah bersedia untuk melakukan proses evakuasi sekiranya keadaan benar-benar memerlukan.

“Proses evakuasi belum lagi, kerana seperti yang saya sebut semalam, kita dah mula membuat mesyuarat antara agensi yang berkaitan dan kita monitor 24 jam. Wakil kita di Tehran juga sentiasa berhubung dengan kita, begitu juga wakil kita berdekatan di Jordan,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, rakyat Malaysia termasuk pelajar serta pekerja Petronas di sana diingatkan untuk lebih berhati-hati bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan sentiasa berhubung dengan pihak malawakil.