KUALA NERUS: Kerajaan disaran mewujudkan platform bagi menyalurkan maklumat penemuan penyu secara terus kepada jabatan yang terlibat.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata kegagalan pihak berwajib memberikan respon dengan kadar segera terhadap penemuan penyu boleh memberi imej negatif kepada negara.

Menurut Dr Mohd Uzair antara langkah yang disyorkan adalah supaya kerajaan mempertimbangkan penggunaan aplikasi WhatsApp atau talian kecemasan 999 untuk memudahkan penyaluran maklumat.

Jelasnya penggunaan aplikasi dan nombor kecemasan lebih praktikal untuk digunakan orang awam berbanding talian telefon rasmi yang digunakan sekarang ini.

"Contohnya, terdapat juga individu yang menghubungi beberapa pegawai secara peribadi dan berkemungkinan pegawai tersebut sedang bercuti dan menyebabkan berlaku kelewatan tindakan dan akhirnya dia akan memberikan imej yang negatif kepada pihak berwajib.

"Maka sebab itu saya mencadangkan bahawa selain kita mempromosi satu nombor daripada pihak Jabatan Perikanan dan nombor ini memang kita perlu menguar-uarkan kepada pihak awam tetapi sudah tentu orang awam mungkin sukar untuk mengingati perkara ini dan mungkin nombor yang paling mudah mereka ingat adalah nombor 999 sahaja.

"Jika kita boleh menghubungkan sahaja daripada nombor 99 dan seterusnya akan pergi kepada Jabatan Perikanan Malaysia dan mungkin akan mengurangkan sedikit kelewatan respon," katanya.

Dr Mohd Uzair berkata langkah itu wajar dilaksanakan dalam memastikan kelestarian hidupan penyu dan ia memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk penyelidik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).