Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, undang-undang itu seharusnya sudah wujud di bawah Akta Hasutan 1948 selain pendirian tegas untuk menyelamatkan imej institusi diraja sendiri.
"Sekiranya kerajaan mempunyai pendirian tegas untuk menyelamatkan imej diraja, kita harus ada peruntukan yang meliputi perbuatan mencerca, merendahkan atau memperkecilkan imej dan reputasi pihak diraja.
"Jika mana-mana pihak mencadangkan institusi raja ditiadakan itu baru hasutan, jika memperli atau memperkecilkan institusi diraja sekarang undang-undangnya masih tidak ada ketegasan, perlu difikirkan hal ini dan diatasi secara perundangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rais mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Yong Choo Kiong yang menghina Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa sidang dewan undangan negeri itu.
Choo Kiong dikata melemparkan kata-kata yang menyentuh isu Sultan Nazrin kepada Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Video berdurasi 5 minit 49 saat yang menunjukkan Adun Tronoh mengeluarkan kenyataan yang dikatakan mencerca institusi diraja - Sumber video Perak Today
Dalam pada itu kata Rais, Sultan Perak juga wajar merasa murka dengan tindakan yang dibuat Adun berkenaan.
"Seharusnya Baginda melahirkan kemurkaan dan meminta semua yang berkenaan agar berkelakuan lebih waras," ujarnya.
Sebelum ini, sidang Dun Perak gempar dengan gelagat semua anggota Dun pembangkang yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dun sekali gus menunjukkan sikap biadab dan tidak menghormati institusi diraja.
Beberapa penganalisis menyifatkan tindakan itu sebagai kurang ajar dan sudah diketahui sejak turun-temurun.
Pada 2009, Speaker Dun Perak V. Sivakumar dan 27 anggota dewan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS pernah menimbulkan kontroversi dengan menghadiri persidangan dewan di bawah pokok.
Ia sekali gus dilihat merupakan satu penghinaan kepada Sultan Perak pada waktu itu, Almarhum Sultan Azlan Shah.
Pada Selasa, sejumlah 26 Adun pembangkang berkumpul di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam.
Difahamkan tindakan terbaharu Adun pembangkang Perak itu dilakukan sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.
Tindakan protes itu juga sebagai menunjukkan rasa marah atas kenaikan harga barang kini dan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semalam.