BMW Malaysia baharu sahaja melancarkan model X4 secara rasmi, menjadikan ia model ‘X’ ke lima dari pengeluar tersebut yang dipasarkan di sini. SUV jelas lebih menjurus kepada rekaan dan imej X6 berbanding X5, X3 dan X1. Oleh itu tidak hairanlah jika pihak BMW menakrifkan model ini sebagai SAC (Sports Activity Coupe), berdasarkan bahagian belakang jentera ini yang dibentuk dengan inspirasi coupe.

Seperti yang telah kami anggarkan di sini (tidak tepat, tetapi hampir betul…), X4 ini boleh didapati di dalam satu pilihan enjin – TwinPower 2.0 liter dengan ouput 245hp dan 350Nm untuk tork. Model BMW X4 xDrive 28i ini didapati di dalam satu lagi varian yang dilengkapi dengan kit M Sport. Harga-harga seperti berikut:

BMW X4 xDrive 28iRM438,800
BMW X4 xDrive 28i M SportRM468,800

Beza RM30,000 bagi pakej M Sport ini adalah untuk kit M Aerodynamics, BMW Individual Shadow Line dengan kemasan hitam berkilat, rim aloi M 19 inci yang lebih ringan dan kemasan cat menarik seperti warna Carbon Black metalik yang eksklusif.

Kabinnya pula ditambah baik dengan tempat duduk sporty yang dibalut kulit bagi pemandu dan penumpang hadapan, kemasan bumbung Individual berwarna gelap (Anthacite) serta stereng M.
Dari segi prestasi, X4 ini boleh memecut dari rehat ke 100km/sj dalam masa 6.4 saat. Tetapi jika dipandu secara cekap mampu pula untuk memberikan tahap penggunaan petrol sebanyak 7.3 liter/100km.

SAC ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda pintar BMW yang dinamakan BMW xDrive dan Performance Control. Seperti yang diharapkan, sistem ini bertujuan untuk memberikan X4 ini keupayaan lebih untuk merentasi keadaan permukaan yang mencabar. Dalam masa sama, ia juga banyak membantu untuk memberikan kualiti pengendalian BMW yang terkenal.

Dari segi penggunaan harian, model ini memberi ruang kargo seluas 500 liter. Dan jumlah ini boleh bertambah ke 1,400 liter jika kerusi belakang dilipat.

BMW ConnectedDrive adalah standard yang meliputi sistem bantuan pemandu, servis dan aplikasi. Pakej M Sport turut menaiktaraf sistem audio kepada sistem bunyi keliling Harmon Kardon.
Kami telah memandu uji X4 ini sejurus setelah ia dilancarkan. Ia cuma satu sesi yang singkat tetapi laporannya akan kami terbitkan dalam waktu terdekat ini.

Juga wajar untuk diberitahu bahawa acara ini merupakan yang terakhir untuk pengarah urusan BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils. Tugas beliau akan diambil alih oleh Alan Harris, yang turut hadir pada acara pelancaran ini.