Benar, keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2019 diumum 19 Disember nanti.

Pengarah Peperiksaan, Adzman Talib berkata demikian bagi menjawab satu kenyataan yang tersebar di laman media sosial berhubung tarikh keputusan PT3.

Beliau berkata sepatutnya tarikh asal adalah pada 12 Disember, namun Lembaga Peperiksaan berdepan kekangan teknikal.

“Tarikh asal yang dicadangkan adalah pada 12 Disember tetapi pada dua minggu yang terakhir semasa guru-guru memasukkan markah mentah melalui sistem yang disediakan oleh KPM, ada beberapa rungutan yang diberikan oleh guru-guru.

“Mereka berdepan kesukaran untuk memasukkan markah pada dua minggu terakhir. Oleh kerana itu, kita menunda sedikit tarikh, namun ia bukannya pengumuman, sebaliknya tarikh mendapatkan keputusan calon-calon daripada pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Sehubungan itu, lebih 400,000 pelajar di seluruh negara yang menduduki PT3 pada Oktober lalu boleh mendapatkan keputusan sekolah menengah di sekolah masing-masing.

Mengulas lanjut beliau berkata, kebiasaan calon PT3 boleh mendapatkan keputusan pada minggu kedua dan ketiga pada bulan Disember setiap tahun.

“Lembaga Peperiksaan biasanya akan menerima markah mentah daripada pihak sekolah. Kemudian kami akan meneliti dan membersihkan data-data berkenaan sebelum diberikan semula kepada pihak sekolah.

“Pihak sekolah akan menerima, mencetak keputusan dan ia tidak melibatkan JPN,” katanya.

Ia melibatkan empat jenis penilaian merangkumi keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik.

Adzman menambah, surat yang ditularkan sebenarnya diberikan kepada Pengarah Pelajaran Negeri di seluruh negara bagi tindakan kepada pengetua sekolah.

Terdahulu, satu kenyataan mendakwa keputusan pengumuman PT3 ditunda kepada 19 Disember menjadi tular di laman sosial.

PT3 diperkenalkan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilaksanakan sejak 1993.