KUANTAN: Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang yang ke-35 berkuat kuasa hari ini.

Datuk Yahaya yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu turut disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada majlis tersebut Datuk Yahaya turut dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis.

Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Perkep Kontijen Pahang yang baharu Datin Sumarni Haris.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani berpesan kepada Ketua Polis Pahang yang baharu untuk membimbing dan mengendali kontinjen Pahang dengan sebaiknya.

"Semua ini yang ada di depan Datuk kini adalah pegawai-pegawai Datuk. 'Your man' bukan 'my man'  bukan 'his man' bukan 'somebody else man', 'it is all your man'.

"Tak ada anak gangsa, anak perak, anak emas, tembaga dan seumpama. Sama rata selagi masih pakai uniform biru. Kita semua adalah pejuang Sang Saka Biru.  

"Saya percaya dan yakin dengan latar belakang yang beliau miliki yang beliau telah perolehi sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pegawai polis. Beliau mampu untuk mengendalikan dan memimpin kontinjen Pahang ke arah yang lebih baik lagi kerana kita akan sentiasa mengharapkan yang terbaik di antara yang terbaik berterusan.

"Kerana itu cara kita memastikan pasukan ini akan sentiasa dilihat relevan," katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Polis Kontinjen (IPK) Pahang  di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ramli turut berterima kasih kepada Ketua Polis Negara atas kepercayaan kepadanya memimpin Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.   

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri atas kepercayaan untuk saya memimpin Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan saya wajib memenuhi harapan Tan Sri dan PDRM ke arah keunggulan Jabatan Pencegahan dan Siasatan Jenayah komersial.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan 692 hari di Pahang, saya telah menyelusuri semuanya dan ianya penghalaman yang amat memberangsangkan," katanya.