Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini tiba di Yogyakarta bagi meneruskan Lawatan Negara ke Indonesia yang bermula pada Isnin.

Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat dari Jakarta tiba di Lapangan Terbang Udara Adisutjipto di sini pada kira-kira 10 pagi (waktu tempatan).

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Timbalan Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta, Kanjeng Gusti Pangeran Adipati Aryo Paku Alam X dan Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal Dan Transmigrasi Republik Indonesia, Eko Putro Sandjojo selaku menteri pengiring.

Turut menyambut ketibaan baginda berdua ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Mengiringi baginda dalam lawatan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pegawai-pegawai kanan kementerian luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Program lawatan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual bermula dengan pertemuan bersama Sultan Yogyakarta dan Gabernor Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X.

Baginda berdua turut dijadual melawat beberapa tempat bersejarah di sini sebelum berangkat pulang ke Malaysia esok. - BERNAMA