KUCHING: Yayasan Sarawak memberikan peluang alternatif buat anak negeri itu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, yang boleh dimanfaatkan terutamanya bagi mereka yang tidak mendapat tempat menerusi Unit Pengambilan Universiti (UPU).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak memiliki lima universiti di negeri ini yang boleh memberi tempat kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran.

Ia terdiri daripada Swinburne University di Kuching, Curtin University di Miri, University Of Technology Sarawak (UTS) di Sibu selain Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) serta Kolej Universiti i-CATS.

"Ini bermakna peluang anak kita agak cerah. Jika dulu kalau nak masuk universiti kita perlu memohon melalui UPU, tetapi kadang-kadang tidak dapat tempat atau jurusan yang diberi itu tidak kita minati.

"..tetapi sekarang di bawah universiti yang dipunyai kerajaan Sarawak kita tidak lagi hanya bergantung pada UPU," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak ke-30 di sini, hari ini.

Diperkenalkan pada tahun 1992, anugerah itu memberi pengiktirafan pada pihak sekolah, warga pendidik dan juga murid yang cemerlang dalam usaha meningkatkan standard pendidikan dan pembangunan modal insan di Sarawak.

Seramai 58 penerima diraikan pada hari ini.

Sementara itu Abang Johari berkata Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam membuka peluang pendidikan kepada anak Sarawak sejak penubuhannya pada 1971.

"Yayasan Sarawak sudah berjaya melahirkan anak-anak kita yang mempunyai ilmu, malah ramai antara mereka telah berjaya dan menjadi pemimpin negeri ini," katanya.

-- BERNAMA