KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah enggan menerima gaji dari kerajaan persekutuan, sejak negara dilanda masalah ekonomi akibat COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, keputusan Tuanku menunjukkan baginda sentiasa prihatin dengan masalah kewangan negara.

“Saya juga nak sebut, bila kita kata kita laksanakan potongan gaji bagi menteri, dan penolakan gaji oleh Perdana Menteri, saya umumkan YDP Agong sebenarnya telah menolak gaji sejak COVID-19. Jadi, Tuanku lebih awal dari saya.

“Baginda tidak terima sebarang gaji dari kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat elok kita berikan penjelasan ini, kerana itu sumbangan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi sangat dekat dengan kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan tarif eletrik untuk rakyat, biarpun beban kewangan kerajaan akibat menanggung kos subsidi bahan itu mencecah sehingga RM30 bilion.

Perdana Menteri berkata, pengecualian daripada kenaikan tarif elektrik itu turut meliputi syarikat industri kecil sederhana, syarikat pertanian, dan syarikat pengeluar makanan.

Dalam pada itu Anwar berkata, mesyuarat Kabinet turut menyentuh mengenai beberapa perkara tertangguh, termasuk hasil penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, serta status tentang tuntutan Pulau Batu Putih.

“Kita membincangkan tentang masalah terkait dengan apa yang berlaku di Tabung Haji dan juga cadangan untuk perbaiki pengurusannya.

“Kemudian, kita minta Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun), untuk memberi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan beberapa kesan sampingan.

“Kita juga akan minta diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna segera dengan Singapura, supaya tidak ada apa-apa masalah berbangkit dari sudut hubungan dua negara sahabat ini,” katanya lagi.