KUALA LUMPUR:Kecoh apabila beberapa laman web komunikasi awam dalam talian mengalami masalah untuk dicapai oleh para pengguna pada Isnin.

Antara yang mengalami masalah untuk diakses adalah laman YouTube, Google Drive, Google Meet, Google Classroom, Stadia, Google Calendar, Google Maps dan Google Playstore.

Notis yang dikeluarkan Google selepas ia gagal dicapai oleh pengguna.

Keadaan itu dikesan berlaku kira-kira pukul 7.50 malam waktu Malaysia.

Bagaimanapun, para pengguna YouTube masih boleh menonton video yang dimuatkan (embed) dalam artikel di laman web lain.

Namun begitu, sekiranya para pengguna ingin ke alamat video khusus (URL) tertentu, kandungannya masih tidak boleh dicapai.

Jika para pengguna cuba akses ke laman berkenaan, ia akan memaparkan mesej masalah teknikal namun tiada penjelasan punca sebenar.

Keadaan tersebut menyebabkan ramai netizen di media sosial lain seperti Twitter meluahkan ekspresi masing-masing.

@iz_my_name_ secara berseloroh menulis keadaan tergendala YouTube dan Google itu seperti situasi semasa negara yang berdepan dengan sekatan susulan pandemik COVID-19.



Bagi @baikasw pula menyangka pada awal situasi itu berlaku telefon bimbitnya yang mengalami masalah, rupa-rupanya laman web YouTube yang tergendala perkhidmatannya.


Jelas @Mimisu7 pula, keadaan yang berlaku pada Google dan YouTube di seluruh dunia itu menimbulkan tanda tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Astro AWANI akan cuba mendapatkan pihak YouTube dan Google untuk penjelasan serta maklumat lanjut.