KUALA LUMPUR: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyasarkan sebanyak 49 buah pusat tuisyen akan terlibat dengan Pusat Tuisyen Pintar @KPLB 2021 secara dalam talian pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan, YPM berkata, penglibatan itu akan memanfaatkan 4,9000 orang dengan pembahagian 100 pelajar di setiap pusat tuisyen.

Menurut YPM, program yang bermula pada awal September dan berakhir pada hujung tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana dibuat secara dalam talian dan bukannya perjumpaan fizikal seperti kelaziman.

“Setiap pusat tuisyen akan mengadakan 10 kali perjumpaan sebanyak seminggu sekali, bergantung kepada jadual yang ditetapkan oleh pusat tuisyen masing- masing.

“Program Tuisyen Pintar @KPLB yang telah bermula sejak 2013 ini merupakan program pemantapan peranan YPM sendiri untuk terus mendekati masyarakat terutamanya pelajar luar bandar yang kurang berkemampuan.

“Program ini juga bertujuan memperkasakan pendidikan Melayu dan Bumiputera dengan memberi akses pendidikan kelas bimbingan kepada pelajar di sekitar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” kata YPM dalam kenyataan itu.

YPM turut memaklumkan, menerusi program tersebut, peserta dapat menimba ilmu dan bimbingan khusus daripada guru cemerlang MRSM dan berkongsi tips serta teknik belajar melalui konsep mentor-mentee antara pelajar cemerlang MRSM dan peserta.

Sementara itu, YPM dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA telah mengadakan Majlis Penyerahan Mock Cheque & Pelantikan Penyelaras Pusat Tuisyen Pintar @KPLB 2021 secara dalam talian pada Jumaat.

Dalam majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin menyerahkan replika cek bernilai RM1,715,000 kepada Pengarah Pendidikan Menengah MARA, Wan Ainizah binti Ariffin.

Penyerahan itu sebagai simbolik kepada pelantikan 49 buah MRSM yang terlibat dalam Pusat Tuisyen Pintar @KPLB 2021.