NATIONAL
YTL dipilih pasang kabel fiber optik di landasan kereta api, MOT buka akses pelbagai syarikat

Anthony Loke berkata, YTL Communications Sdn Bhd dipilih sebagai syarikat kedua untuk memasang kabel fiber optik selepas 30 tahun lalu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) membuka peluang kepada mana-mana syarikat telekomunikasi memasang kabel fiber optik di sepanjang laluan kereta api negara.
Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang koridor kereta api milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) ini merupakan langkah strategik bagi menyokong agenda transformasi digital negara.
Katanya, kali ini YTL Communications Sdn Bhd dipilih sebagai syarikat kedua untuk memasang kabel fiber optik selepas 30 tahun.
“Sudah tentu ini bukan eksklusif kepada YTL Communications. Dari semasa ke semasa kita boleh pertimbangkan untuk syarikat-syarikat pembekal komunikasi lain juga.“Ini untuk kita pastikan, kita ada lebih banyak rangkaian fiber optik untuk memastikan dari segi kesampaian digital dan komunikasi dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika hadir Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sebuah hotel, di sini pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad; dan Pengarah Urusan YTL Communications Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Pada majlis yang sama turut berlangsung pemeteraian perjanjian antara RAC dengan YTL Communications.
Loke menambah, YTL Communications dipilih kerana menawarkan pulangan paling tinggi kepada RAC.
Menurutnya, hasil tambahan itu kelak boleh digunakan semula untuk pembangunan dan peningkatan industri rel termasuk penyelenggaraan 'rolling stock' dan stesen kereta api; penambahbaikan fasiliti seperti lif dan kemudahan untuk kegunaan Golongan Kurang Upaya (OKU); dan pembinaan stesen kereta api baharu dan elektrifikasi laluan.
Sementara itu, Seok Hong dalam kenyataan berasingan berkata YTL Communications amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan RAC dalam merealisasikan visi untuk menjadikan koridor rel sebagai pemacu keterangkuman digital negara.
"Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk membuka lebih banyak akses kepada internet berkelajuan tinggi demi manfaat rakyat.
"Ia sekali gus merapatkan jurang digital dan memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengakses dunia digital yang berkembang pesat.
"Ini sejajar dengan aspirasi untuk mencapai Malaysia yang lebih digital, inklusif dan mampan, demi manfaat generasi hari ini dan masa depan," katanya.
Dalam masa sama, RAC menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif liberalisasi itu tidak akan menjejaskan
hak eksklusif sedia ada yang dipegang oleh Fiberail Sdn Bhd (FSB) menerusi Wayleave Agreement bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berkuatkuasa sehingga tahun 2032.
Jelas syarikat itu, semua pembangunan baharu akan dilakukan melalui rundingan teknikal bersama, tanpa
gangguan kepada infrastruktur sedia ada.
"RAC komited untuk memastikan pelaksanaan ini mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani, dan dalam masa yang sama membuka pasaran secara lebih telus dan inklusif," kata RAC.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami