Penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Yusoff mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding di kerusi tersebut pagi tadi menerusi akaun Twitternya.

Beliau tidak akan dicalonkan semula oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-13.






Astro Awani difahamkan Yusmadi tidak termasuk dalam senarai akhir calon PKR yang telah diluluskan oleh pimpinan parti dan dipersetujui oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

"Beliau juga tidak ditawarkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang," kata seorang sumber yang dekat dengan parti itu.

Sumber itu tidak menyatakan punca kenapa Yusmadi digugurkan tetapi menyebut ahli korporat, Mohamad Bakhtiar Wan Chik dijangka akan ditunjuk sebagai calon PKR bagi kawasan Parlimen Balik Pulau.

Dalam pilihan raya umum 2008, Yusmadi mengalahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi.

Beliau memperolehi 15,749 undi berbanding Norraesah yang mendapat 15,041 undi.

Pengguguran Yusmadi tidak begitu mengejutkan kerana spekulasi mengenainya telah terdengar sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, ia dijangka akan jadi satu cabaran kepada PKR untuk mengekalkan kemenangan di kerusi majoriti Melayu itu terutama untuk memastikan undi daripada pengundi muda yang cenderung menyokong beliau.

Selebihnya, kerana Bakhtiar yang berasal dari Teluk Kumbar dilihat sebagai 'orang luar'.

"Keadaan di bawah sudah kacau," kata sumber itu, merujuk kepada reaksi penyokong Yusmadi.

Yusmadi, 39, merupakan antara calon muda dan profesional yang ditampilkan oleh PKR pada 2008, dan menang.

Anak jati Balik Pulau itu merupakan seorang peguam, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan juga merupakan Pengerusi Biro Strategi & Hubungan Antarabangsa Angkatan Muda Keadilan
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dijadual akan mengadakan sidang media menyentuh kedudukan calon parti itu bagi kawasan Parlimen, pagi ini.

Laporan sebelum ini menyebut PKR juga dijangka akan menggugurkan tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu Tan Hock Leong (Machang Bubok), Jason Ong Khan Lee (Kebun Bunga) dan S. Raveentharan (Batu Uban).