NATIONAL
Yusoff Rawther tahu, kawal, miliki pistol tiruan dalam keretanya - Polis

Muhammed Yusoff antara lain didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 Sept 2024. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes senjata api memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa Muhammed Yusoff Rawther mengetahui, mempunyai kawalan dan memiliki dua pistol tiruan yang ditemui dalam kereta miliknya, pada September tahun lalu.
Inspektor Aiman Mohd Suhaimi yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap bekas pembantu penyelidik berusia 32 tahun itu.
Ia membabitkan kes masing-masing satu pertuduhan mengedar ganja dan memiliki pistol tiruan di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Ketika membaca pernyataan saksi, Aiman berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan keadaan semasa tangkapan yang mana hanya tertuduh yang menghampiri kereta jenis Nissan Teana berwarna biru gelap.Saksi pendakwaan ke-12 berkenaan itu juga berkata, senjata api tiruan itu telah dijumpai di bawah kerusi hadapan penumpang di sebelah kiri kenderaan yang digunakan oleh lelaki itu.
Menurutnya, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama Muhammed Yusoff.
“Semasa rakaman percakapan, tertuduh memberitahu dia seorang sahaja yang mempunyai akses serta menggunakan kenderaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, saksi itu berkata, teman wanita tertuduh tidak menggunakan kereta terbabit kerana mempunyai kenderaan sendiri.
Katanya, tertuduh memiliki kenderaan itu sejak Mei tahun lalu selepas diperoleh daripada ibu saudaranya.
Beliau berkata, semasa menemu bual ibu saudara tertuduh pada 12 September tahun lalu, wanita itu memberitahu telah mengetahui kerosakan yang berlaku pada bahagian pintu, dua minggu sebelum serbuan dibuat.
"Saya ada menyoal tertuduh, dia juga mengaku tidak sempat menghantar kenderaannya untuk dibaiki atau menyelesaikan masalah alat kawalan jauh termasuk sistem keselamatan kenderaan.
“Walaupun mengetahui sistem keselamatan itu mengalami kerosakan selama beberapa minggu, namun dia tidak cuba untuk membaikinya,” kata pegawai berkenaan.
Justeru itu, pegawai berpendapat, jika berlaku masalah dengan sistem keselamatan kenderaan, tertuduh sepatutnya meletakkan kenderaan dalam lot parkir kondominium dan bukannya di tepi jalan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Muhammed Yusoff didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung 2.45 petang Jumaat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami