PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther berhubung kes saman melibatkan dakwaan serangan seksual oleh Perdana Menteri itu di kediamannya, di Segambut, di sini lima tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas Muhammed Yusoff menarik balik rayuannya pada saat-saat akhir untuk membatalkan keseluruhan tuntutan balas Anwar.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Lee Swee Seng bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Lim Chong Fong.

Mahkamah kemudian memerintahkan Muhammed Yusoff selaku plaintif  membayar kos RM5,000.

Melalui prosiding dijalankan secara dalam talian itu, Muhammed Yusoff diwakili peguam Reenajit Kaur Golen manakala Navpreet Singh mewakili Anwar.

Terdahulu, Navpreet memberitahu panel, pihaknya memohon kos sebanyak RM5,000 kerana Muhammed Yusoff selaku perayu menarik balik rayuan tanpa perkembangan baharu, yang bermakna beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
]
Perayu turut menarik balik rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan Ahli Parlimen Tambun itu

Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan tersebut pada 28 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Ahli Parlimen Tambun itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019 manakala Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.

Sementara itu Anwar memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu 'palsu dan direka'.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa itu tidak mungkin berlaku.

Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.