KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, disahkan sebagai 'saksi kritikal' yang menyokong dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Najib, 70, sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum berkenaan.

BACA: Kes Najib cabar kewujudan titah adendum, dijalankan secara dalam kamar

Kes najib cabar kewujudan titah adendum, secara dalam kamar

Ahmad Zahid, yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.

"Beliau menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

"Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama," katanya dalam afidavit berkenaan.

Ahmad Zahid juga mendakwa, beliau percaya anggota kerajaan yang lain juga sudah melihat Titah Adendum berkenaan.

"Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum berkenaan.

"Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, tiada salinan Titah Adendum atas alasan kerahsiaan dan kewajaran, terutama memandangkan titah pada masa itu belum dilaksanakan lagi.

"Saya bagaimanapun mengesahkan perkara yang sama adalah dalam milikan kolektif responden.

"Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa Peguam Negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan Titah Adendum untuk pertimbangan undang-undang beliau," katanya.

Najib, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April.

Bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.