KUALA LUMPUR: Media tidak dibenarkan membuat liputan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas perdana menteri itu, menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh, supaya prosiding kes itu dijalankan secara dalam kamar memandangkan terdapat isu sensitif.

"Semua dokumen sudah difailkan. Secara dalam kamar bermaksud ia boleh dibuat secara fizikal di mahkamah, tetapi diisytiharkan dalam kamar.

"Saya juga diberitahu dan dimaklumkan kepada rakan saya (Peguam Kanan Persekutuan - SFC) Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly) yang juga menerima idea itu, memandangkan bahan-bahan tertentu yang didedahkan dalam afidavit sebelum ini yang sebenarnya sensitif," kata peguam itu.

Hakim Amarjeet kemudian membenarkan prosiding dijalankan secara fizikal diisytihar dalam kamar yang hanya boleh dihadiri peguam mewakili Najib dan pihak SFC mewakili responden.

"Semua pihak lain tidak dibenarkan mengikuti prosiding ini termasuk pihak media," kata hakim itu.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan Diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA