IPOH: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menzahirkan kesyukuran berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang membebas dan melepaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah, pada Jumaat.

Malah, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata beliau gembira atas keputusan berkenaan.

“Sebagai ahli parti, dan sesama Islam, kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas keputusan mahkamah itu. Kita gembira untuk beliau.

“Saya yakin, dia juga akan mampu (terus) melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dan ketua parti selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika sesi beramah mesra bersama media di sini, pada Jumaat.

Tajuddin terdahulu diminta mengulas berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Ahmad Zahid atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap Presiden UMNO itu di akhir pendakwaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada keputusan mahkamah ke atas Ahmad Zahid itu akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata ia terserah kepada pengundi.

“Tidak ada mana-mana parti yang sempurna. Apabila tiba saat PRU, akan ada isu yang dibangkitkan (perihal kekuatan) antara satu parti dengan parti yang lain.

“Kalau nak cakap tentang UMNO, UMNO juga ada kelemahan. Nak cakap tentang Pas, parti itu juga ada kelemahan dan begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), atau DAP sekali pun. Jadi biar rakyat buat penilaian,” katanya lagi.