Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi menjadi pilihan raya paling bersih, tanpa sebarang isu berkaitan keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua peringkat agar bersiap-siaga bagi memastikan keamanan dan keselamatan rakyat sepanjang pilihan raya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM perlu memastikan tidak akan berlaku sebarang kesilapan atau kecacatan sepanjang proses itu berlangsung, bagi mengelak timbulnya pertikaian pihak tertentu.

"Saya tidak mahu sebarang kecacatan dilakukan di dalam tindakan kita untuk menjaga keselamatan rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, tanpa mengira agama, bangsa dan kebudayaan. Harap kita lakukan yang terbaik.

"Biarlah pilihan raya umum yang ke-14 ini merupakan pilihan raya umum yang paling bersih kerana kesiapsiagaan PDRM di semua peringkat untuk menjaga keamanan dan tidak ada permasalahan yang besar berlaku sepanjang PRU14 ini.

"Rakyat mengharapkan kita, maka kita harus menterjemahkan kepercayaan ini dengan melakukan kerja dengan bersunguh sungguh," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, IPK yang terakhir dilawat menjelang PRU14 di seluruh negara.

Beliau yang tiba di IPK kira-kira jam 9.15 pagi, diiringi Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan, turut memeriksa perbarisan kawalan kehormatan sebelum menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis Kontinjen Pulau Pinang.