PAS menganggap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berdalih untuk mendedahkan apakah perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh 'Raja Judi' Paul Phua kepada kerajaan Malaysia.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata penjelasan Zahid mengenai isu tersebut pada Khamis masih belum menjawab persoalan utama iaitu tujuannya mengutus surat itu .

“PAS masih konsisten dengan penegasan agar pihak kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri agar bersikap telus dalam isu ini.

“Usah jadikan alasan ‘rahsia besar’ bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan pihak kerajaan sanggup bersekongkol dengan raja judi dan kongsi gelap dalam hal keselamatan negara.

“Isu yang menjadi pertikaian umum sekarang bukanlah sekadar sama ada Paul Phua itu ahli kongsi gelap 14 K Triad di Malaysia atau di luar negara tetapi, rakyat menuntut penjelasan menteri agar berterus-terang dalam penglibatan Paul Phua dalam sistem keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Zahid berkata beliau tidak dapat mendedahkan mengenai bentuk bantuan yang disediakan oleh Phua kepada kerajaan kerana melibatkan “rahsia besar negara” yang dilindungi OSA.

Beliau turut menjelaskan bahawa suratnya kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) bukan surat sokongan.

Surat itu dikemukakan kepada Mahkamah Daerah Nevada oleh peguam Phua sebagai sebahagian pembelaannya dalam perbicaraan kes perjudian haram di Las Vegas, AS.