Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

Presiden UMNO itu telah diberikan notis berkenaan sekitar jam 1.45 tengah hari tadi. Beliau diminta untuk hadir ke SPRM pada jam 3 petang esok.

Perkara ini telah disahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu kenyataan hari ini.

Spekulasi kini bertiup kencang berhubung kemungkinan penahanan Ahmad Zahid, namun SPRM tidak mahu memberi sebarang komen.

Ahmad Zahid telah dipanggil untul disoal siasat oleh SPRM selama empat kali berhubung penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Beliau adalah Pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk membendung kemiskinan dan membangunkan pendidikan Islam.



SPRM sedang menyiasat dakwaan berjumlah RM800,000 milik Yayasan Akal Budi yang didakwa digunakan untuk membayar kad kredit peribadi beliau.

Kali pertama Ahmad Zahid disoal siasat oleh SPRM pada 3 Julai lalu dan buat kali ketiga minggu lalu.