KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan pembiayaan pengajian dalam bidang koperasi sekurang-kurangnya kepada tiga pelajar Palestin sebagai satu bentuk sokongan kepada rakyat negara itu.

Menurut Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, perancangan itu sedang disusun oleh duta besar Malaysia di Jordan dan Kementerian Koperasi di Palestin, selain perihal berkenaan juga sudah dibincangkan semasa mesyuarat pasca kabinet kelmarin.

"Semasa dalam Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik yang diadakan di Jordan baru-baru ini, di mana saya mengetuai delegasi Malaysia dalam persidangan tersebut, kita telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala dengan Menteri Koperasi Palestin.

"Kita juga telah berbincang bersama agensi-agensi di Jordan dan antara kerjasama yang boleh dibuat adalah penawaran biasiswa pembiayaan pengajian sekurang-kurangnya kepada tiga pelajar Palestin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KUSKOP dan agensinya di Menara Kembar Bank Rakyat pada Khamis.

Dari segi pengambilan pelajar pula, beliau berkata Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) sudahpun bermula tahun lepas dan pengajian sudah berjalan pada masa ini.

"Pada masa ini tertakluk kepada perbincangan antara kementerian kita, agensi kita, pejabat di Jordan dan juga pihak kerajaan Palestin. Kita berharap bila mereka sedia untuk menghantar, (baru kita) akan membuat pemakluman kepada media.

"Pada ketika ini, itu adalah satu bentuk kerjasama yang kita tawarkan kepada Palestin dan sedang dibincangkan dengan lebih lanjut, tetapi Menteri Koperasi Palestin telah menyatakan minat yang begitu besar untuk belajar daripada Malaysia dalam membangunkan gerakan koperasi," tambahnya lagi.

Setakat ini, pihaknya turut mengambil kira perkembangan semasa di negara itu dan beliau juga percaya bahawa dengan semangat kenegaraan ini, pihaknya dapat memberi ruang kepada belia-belia Palestin untuk belajar di universiti koperasi itu.

"(Kita juga) mengambil kira apa yang berlaku dan kita berharap (pihak kami turut) dapat menjadi sebahagian proses pemulihan atau proses pembangunan semula di wilayah Palestin.