MALAYSIA
Zaliha tunai manifesto bina hentian rehat untuk penghantar makanan di Segamat

Dr Zaliha berkata kemudahan hentian rehat untuk penghantar makanan adalah antara manifestonya pada PRU lepas, hasil pertemuan dengan penghantar makanan di daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang. - Gambar hiasan/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM650,000 bagi membina hentian rehat bagi kemudahan penghantar makanan di kawasan Sungai Kapeh berdekatan jambatan kedua Segamat di Jalan Laksamana.
Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pembangunan hentian rehat itu telah bermula sejak Jun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan hadapan.
"Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Segamat (MPS) selaku agensi pelaksana kerana menjayakannya. Dalam pada Kerajaan MADANI menghadiahkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang telah lulus di Dewan Rakyat kepada para pekerja gig seperti penghantar makanan ini, di (Parlimen) Sekijang kami pun beri hadiah ini kepada mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata kemudahan berkenaan antara manifestonya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, hasil pertemuan dengan kira-kira 100 penghantar makanan termasuk FoodPanda dan GrabFood di daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang.“Mereka adu kepada saya tentang ketiadaan tempat untuk mereka lepak sementara menunggu pesanan masuk. Oleh itu, dalam manifesto saya yang lepas, saya janji dengan mereka untuk wujudkan satu pit stop ala-ala hentian rehat dan rawat (R&R) untuk mereka.
"Bagi merealisasikan manifesto ini, saya angkat permohonan ini kepada KPKT dengan kerjasama MPS dan alhamdulillah KPKT telah luluskan peruntukan berjumlah RM650,000 bagi membina hentian rehat ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami