KUALA LUMPUR: Tan Sri Zarinah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) berkuat kuasa 13 Disember 2021.

Universiti tersebut dalam satu poster memaklumkan, pelantikan bekas Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu adalah sehingga 12 Disember 2024.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Tetringgi UM turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap pelantikan Zarinah.

Foto: UM

Sementara itu memetik Bernama, Zarinah menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut.

Menurut UM dalam kenyataan, pelantikan itu dibuat menerusi surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 10 Disember lalu, selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan Universiti Malaya (Pengerusi).

Menurut kenyataan itu, Zarinah yang juga alumni Fakulti Undang-Undang UM, adalah tokoh korporat terkenal dengan menggalas jawatan penting termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Petroliam Nasional Berhad sejak 17 Ogos 2015.

Selain itu beliau turut memegang jawatan Pengerusi Debt Ventures Berhad Malaysia, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pemegang Amanah Razak School of Government, Yayasan Hasanah dan Yayasan Jeffrey Cheah.

"Di pentas dunia, beliau ialah Felo Abdullah bin Abdulaziz di Oxford Centre for Islamic Studies United Kingdom, ahli Lembaga Penasihat Pihak Berkuasa Sekuriti dan Komoditi Emirates, Emiriah Arab Bersatu," menurut kenyataan itu.

Zarinah juga adalah Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), ahli Majlis Penasihat Akademik Universiti Teknologi Petronas, serta turut berkhidmat sebagai ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan mengenai Wanita.